Kerjasama berterusan Thailand dalam memperkukuh keselamatan makanan NBD





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman






GYEONGJU, REPUBLIK KOREA, Jumaat, 31 Oktober. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri Kerajaan Thailand, Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul yang berlangsung di Gyeongju Hwabaek International Convention Center (HICO), hari ini.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Pada Majlis Perjumpaan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa kedua-dua negara telah menikmati hubungan yang telah lama terjalin dan erat dalam bidang-bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan dan pertukaran antara rakyat, dan menghargai sokongan berterusan Thailand dalam keselamatan makanan Negara Brunei Darussalam (NBD), khususnya dalam pembekalan beras dan gula serta penubuhan nurseri NBD baru-baru ini.


Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.


Baginda merakamkan ucapan selamat maju jaya bagi persiapan Sukan SEA pada bulan Disember 2025, dan mengalu-alukan Perdana Menteri untuk mengadakan lawatan ke NBD pada tarikh yang sesuai.


NBD dan Thailand mempunyai hubungan dua hala yang kukuh dan rapat dan bekerjasama dalam bidang-bidang perdagangan, pertanian dan pertahanan serta pertukaran dan kerjasama antara rakyat melalui ASEAN.


Kedua-dua negara mengesahkan komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan, termasuk melalui lawatan peringkat tinggi dan mekanisme sedia ada seperti Joint Commission on Bilateral Cooperation (JCBC).


Close